Suspek kes tetak anggota polis diberkas kurang empat jam selepas kejadian di kawasan sebuah pangsapuri di Farlim, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Anggota polis berpangkat Lans Koperal mengalami kecederaan di kepala akibat ditetak ketika bergelut dengan tokan dadah dalam kejadian di Farlim, di sini, tengah malam tadi.

Kejadian kira-kira jam 12.15 tengah malam itu turut mengakibatkan tengkorak kepala mangsa berusia 29 tahun itu retak susulan suspek menggunakan pisau pemotong daging untuk menyerang.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama seorang lagi anggota Balai Polis Bandar Baru sedang melakukan sekatan jalan raya (SJR) bersama beberapa anggota lain di lokasi berhampiran.

Mohd Shuhaily melawat mangsa yang kini masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.

Jelas beliau, mangsa dan rakannya ternampak suspek yang menunggang motosikal membuat pusingan U sebelum mereka mengekorinya.

Kata Mohd Shuhaily, suspek berusia 33 tahun itu berjaya ditahan kira-kira 150 meter dari lokasi dia melarikan diri sebelum mengaku bertindak sedemikian kerana tidak mempunyai lesen

“Bagaimanapun, semasa ditahan, suspek telah membuat provokasi sehingga berlaku pergelutan antara dia dengan anggota tersebut berhampiran sebuah kediaman.

“Susulan itu, suspek mencapai sebilah pisau pemotong daging yang ada di atas meja rumah tersebut dan menetak anggota terbabit.

Pihak forensik menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

“Akibat kejadian itu, anggota tersebut mengalami keretakan pada tengkorak selain luka pada belakang dan depan kepala. Namun, dia dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa di Hospital Pulau Pinang hari ini.

Tambah Mohd Shuhaily, susulan insiden itu, suspek melarikan diri dan bersembunyi di kawasan sebuah pangsapuri sebelum berjaya ditahan pada jam 3.40 pagi.

“Polis menemui semula pisau yang digunakan suspek selain menemui 30 paket disyaki dadah heroin dalam bungkusan hitam di bahagian tempat duduk motosikal ditungganginya.

Pisau yang digunakan suspek ditemui pihak polis di atas bumbung kediaman teres iaitu lokasi mangsa ditetak.

“Hasil semakan mendapati suspek positif dadah dan mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah,” ujarnya.

Suspek direman selama tujuh hari sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette