Nik Nazmi Nik Ahmad

KUALA LUMPUR – Penduduk dan pekebun yang menjadi mangsa serangan haiwan liar sehingga menyebabkan kemusnahan  kawasan pertanian dan harta benda mungkin diberikan ganti rugi.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pihaknya kini sedang berbincang dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi tujuan tersebut.

“Mungkin bukan ganti rugi tetapi sekurang-kurangnya saguhati bila berlaku kerosakan terhadap tanaman dan harta benda masyarakat yang terjejas.

“Kami dalam proses perbincangan dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan supaya dapat mencari bajet untuk perkara ini dan dapat mengatasi masalah ini kerana ia menjadi serius akhir-akhir ini,” kata Nik Nazmi ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan Peringkat Dasar 2023.

Nik Nazmi menjawab soalan yang dilontarkan secara spontan  Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Md. Nor yang ingin mengetahui bantuan yang diberikan kepada petani yang mengalami kemusnahan akibat serangan haiwan liar seperti gajah.

Menurut Nik Nazmi, ketika ini terdapat tabung bantuan kepada keluarga jika mengalami kematian dan mangsa yang mengalami kecederaan akibat serangan haiwan liar.

Sementara itu, beliau berkata, Kerajaan sedang melaksanakan inisiatif Central Forest Spine (CFS) di Semenanjung Malaysia.

Ia bagi mengurangkan konflik antara manusia dan hidupan liar disebabkan fragmentasi hutan dan laluan semula jadi hidupan liar dari satu kawasan hutan ke hutan yang lain telah terhalang dengan projek pembangunan.

“Penubuhan kawasan CFS hanya dapat dijayakan dengan menyambung semula empat kompleks hutan utama di Semenanjung Malaysia dengan mewujudkan koridor ekologi yang telah dikenalpasti.

“Iaitu Main Range-Bintang-Nakawan Forest Complex; Greater Taman Negara Forest Complex; South East Pahang-Chini-Bera Forest Complex dan Endau Rompin-Ulu Sedili Forest Complex,” katanya.

Kerajaan juga komited untuk meneruskan inisiatif ini dengan memperkenalkan Pelan Induk untuk Menghubung Ekologi Central Forest Spine (PIRECFS) 2022 yang akan dilaksanakan dalam beberapa fasa sehingga 2040.

Pelan induk itu melibatkan lapan negeri, 12 kementerian, 11 agensi persekutuan, 96 agensi negeri dan 18 syarikat berkaitan kerajaan dan badan berkanun serta 26 badan bukan kerajaan.-MalaysiaGazette