KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara (KPDN) memberi jaminan, isu kenaikan harga barang mentah di Johor yang terkesan akibat banjir akan segera diatasi dalam masa terdekat.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) dalam memastikan bekalan barang mentah mencukupi khususnya di kawasan banjir.
“Bila berlaku bencana luar jangka itu, kita mendapati harga makanan basah khususnya di Kota Tinggi dan Mersing (naik).
“Pada musim tengkujuh, nelayan tak boleh ke laut, banyak kebun sayur yang musnah.
“Saya akan lihat dahulu isu bekalan, kalau serius nanti kita akan bincang dengan pihak kementerian (MAFS) bagaimana kita harus atasinya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Jualan Rahmah Shopee di ibu pejabat Shopee Malaysia, di sini, hari ini.
Beliau mengulas laporan media mengenai dakwaan peniaga yang merungut tentang kenaikan harga barang basah di Batu Pahat, Johor selepas dilanda bencana banjir.
Menurut laporan media, walaupun bekalan barang basah seperti ikan dan sayur mencukupi, namun berlaku kenaikan harga hingga menjejaskan pendapatan peniaga.
Kenaikan harga itu dipercayai terdapat segelintir pihak khususnya pemborong mengambil kesempatan ketika musim banjir. – MalaysiaGazette