JOHOR BAHRU – Negeri Johor mencatatkan penerimaan pelaburan langsung asing (FDI) tertinggi dalam negara bagi tahun 2022 iaitu sebanyak RM70.6 bilion.

Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pelaburan-pelaburan itu akan menghasilkan lebih 12,000 peluang pekerjaan dan peluang perniagaan kepada rakyat Johor dan Malaysia.

“Syukur alhamdulillah, saya ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Seri Mohd Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri) dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han kerana membantu merealisasikan objektif untuk menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi ke negeri ini.

“Tidak dilupakan juga kepada, pihak Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Invest Johor serta semua agensi-agensi lain di peringkat Persekutuan dan negeri yang sentiasa memberi sokongan kepada kerajaan negeri,” katanya menerusi media soialnya hari ini.

Jelas Onn Hafiz, kerajaan negeri bersama kerajaan Persekutuan akan terus mengorak langkah demi memajukan negeri Johor. -MalaysiaGazette