Muhammad Faris Ariffin, Pengurus Besar NAFAS

KUALA LUMPUR- Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) melantik Muhammad Faris Arriffin sebagai Pengurus Besar baharu, berkuat kuasa semalam.

Dalam kenyataan hari ini, NAFAS memaklumkan Muhammad Faris mempunyai kepakaran selama 15 tahun dalam kejuruteraan dan teknologi, pengurusan korporat serta pengalaman dalam bidang pembangunan perniagaan dan strategi pelaburan.

Pemegang ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam Kejuruteraan Petroleum dari The University of Adelaide, Australia itu pernah berkhidmat di Petronas, Halliburton dan Schlumberger, dan kini sedang menjalani pengajian dalam Ijazah Sarjana Kewangan di Harvard University, Amerika Syarikat.

“NAFAS yang mewakili 14 Pertubuhan Peladang Negeri, yang dianggotai oleh 279 Pertubuhan Peladang Kawasan dan mempunyai hampir sejuta ahli peladang di seluruh negara mempunyai keupayaan untuk menjadi tonggak kepada dasar-dasar dan inisiatif-inisiatif kerajaan yang mendukung hala tuju ke arah peningkatan aras keterjaminan makanan negara,” kata Muhammad Faris dalam kenyataan itu.

Beliau berkata NAFAS juga berupaya membela kesejahteraan para petani melalui pendekatan yang lebih lestari, berdaya tahan dan berteknologi tinggi serta jalinan kolaborasi antara NAFAS dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, dan agensi serta kerajaan negeri, sektor awam dan swasta yang berkaitan akan diperkukuh.

Menurut NAFAS, pelantikan teknokrat untuk mengisi kekosongan jawatan pengurus besar ini membawa harapan kementerian dalam memacu NAFAS menjadi pemangkin usaha pemodenan rantaian bekalan industri agromakanan dan menarik minat golongan belia untuk menceburi bidang pertanian melalui aplikasi teknologi dan digital.

Sementara itu, Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS Datuk Zamri Yaakob dalam kenyataan sama berkata dengan kepimpinan yang pragmatik serta visi transformasi yang jelas, pelantikan Pengurus Besar NAFAS yang baharu diharapkan mampu membawa pertubuhan ini ke tahap yang lebih tinggi.- MalaysiaGazette