Dua nelayan warga Indonesia menangkap ikan di perairan negara secara haram mneggunakan bubu naga berjaya diberkas APMM.Ihsan APMM Selangor

KUALA LUMPUR – Dua nelayan Indonesia ditahan Maritim Malaysia kerana menceroboh dan menangkap ikan menggunakan bubu naga di perairan negara, tengahari semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor V. Sivakumar berkata, bot fiber yang dinaiki nelayan terbabit ditahan di perairan Bagan Tengkorak, Tanjung Karang, Selangor

“Bot fiber yang tidak mempunyai nombor pendaftaran itu ditahan pada kedudukan kira-kira 3 batu nautika barat daya Bagan Tengkorak berpandukan hasil risikan yang dibuat.

“Ketika ditahan, dua nelayan Indonesia yang berumur 44 dan 29 tahun itu sedang menaikkan bubu naga ke atas bot mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Sivakumar, pemeriksaan lanjut mendapati salah seorang daripada nelayan berkenaan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah manakala seorang lagi mempunyai dokumen pengenalan diri yang sudah tamat tempoh.

“Bot bersama kedua-dua nelayan warga Indonesia itu dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan peralatan menangkap ikan yang tidak dilesenkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia.

“Kedua-dua suspek juga disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya lagi.- MalaysiaGazette