Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali

KUALA LUMPUR- Pihak pembelaan dalam kes pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa atas pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella, menutup kesnya hari ini selepas memanggil lapan saksi pada perbicaraan di Mahkamah Sesyen di sini.

Peguam Mohammad Farhan Maaruf yang mewakili Siti Bainun memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan menutup kes selepas pensyarah kanan bidang psikologi perkembangan kanak-kanak dan remaja berkeperluan khas, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Abdul Rahman Ahmad Badayai selesai memberi keterangan.

“Pihak pembelaan tidak mempunyai saksi lain dengan berakhirnya keterangan saksi pembelaan kelapan (Abdul Rahman), pihak kami (pembelaan) menutup kes hari ini,” katanya.

Hakim Izralizam Sanusi kemudian memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis pada 7 April manakala 14 April bagi hujahan balas sebelum mahkamah membuat keputusan di akhir kes pembelaan pada 3 Mei ini sama ada untuk mensabitkan atau membebaskan Siti Bainun daripada pertuduhan tersebut.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak pembelaan dan pendakwaan kerana memberi kerjasama untuk menyelesaikan kes pada hari ini dan keputusan di akhir kes pembelaan pada 3 Mei pada jam 10 pagi,” kata hakim itu.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nor Azizah Mohamad, Zilfinaz Abbas dan Shakira Aliana Alias.

Terdahulu, saksi pembelaan ketujuh Sarjan Siti Nur Balqes Abdul Rahim, 34, memberitahu mahkamah bahawa Bella dilihat agak ketakutan namun menunjukkan reaksi positif pada sesi temu bual dikendalikan Pusat Temuduga Kanak-Kanak(CIC).

Siti Nur Balqes yang juga pegawai penemubual CIC, berkata pada ketika itu Bella ditemani seorang pegawai wanita dari Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk sesi temu bual tersebut yang mengambil masa 20 minit.

“Pada pandangan saya, Bella pada mulanya dia takut tetapi dia mula bercakap dan bagi saya agak positif reaksinya sebagai kanak-kanak yang kurang upaya,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh peguam Mohammad Farhan.

Semasa dirujuk rakaman temu bual CIC mengenai Bella yang teragak-agak menjawab berkenaan isu air panas, Siti Nur Balqes berkata dia tidak perasan.

Mohammad Farhan: Daripada video kita tonton sebentar tadi, saya perlukan kepastian puan. Apabila bertanyakan berkenaan dengan air panas, kanak-kanak itu seperti susah mahu menjawab pertanyaan itu. Puan perasan tak.

Siti Nur Balqes: Tidak.

Dalam prosiding hari ini, Izralizam mengarahkan galeri awam dikosongkan bagi memberi laluan kepada tayangan rakaman video temu bual CIC itu di mahkamah.

Kepada soalan TPR Azizah mengenai pergerakan tangan Bella bukannya merujuk kepada menuang air panas tetapi mengangkat (tangan) sahaja dalam rakaman video CIC tersebut dan saksi berkenaan menjawab tidak setuju.

Pada 24 Nov 2022, mahkamah memerintahkan Siti Bainun membela diri atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Siti Bainun, 31, kemudian memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari tempat duduk saksi iaitu disoal terlebih dahulu oleh peguamnya semasa pemeriksaan utama dan kemudian pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan.- BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast