Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Asisten Komisioner Beh Eng Lai menunjukkan wajah suspek kes samun klinik, hari ini.

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan kumpulan penjenayah terdiri daripada lima orang termasuk wanita yang aktif dalam aktiviti pecah masuk dan samun klinik di sekitar Lembah Klang dan Pahang.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kumpulan tersebut menyasarkan klinik yang tidak beroperasi pada waktu malam dan melakukan samun sekitar jam 3 hingga 4 pagi dengan mengumpil pintu belakang klinik terbabit.

Katanya, pihak polis menerima laporan berkaitan pecah masuk klinik daripada seorang kerani sebuah klinik di Jalan Sentul kira-kira 10.37 pagi, 23 Februari lalu.

Menurut pengadu, kejadian itu menyebabkan klinik berkenaan mengalami kerugian wang tunai berjumlah lebih RM4,000 serta beberapa jenis ubat-ubatan bernilai RM50,000 turut hilang disyaki dicuri.

“Bertindak atas maklumat itu, pada 1 Mac lalu sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul telah berjaya menangkap empat orang lelaki dan seorang wanita warga tempatan disyaki terlibat dalam kegiatan jenayah pecah klinik,” katanya semasa sidang media kejayaan tersebut di IPD Sentul hari ini.

 

Tambah beliau, kesemua suspek yang berusia lingkungan 22 hingga 32 tahun itu ditahan di sekitar daerah Sentul dan Sri Damansara Selangor.

Pihak polis juga berjaya merampas dua batang spanar paip dan sebuah motokar disyaki digunakan semasa kejadian, enam buah telefon bimbit pelbagai jenama serta pelbagai jenis peralatan klinik dan ubat-ubatan untuk merawat penyakit kebimbangan melampau (anxiety) dan kemurungan.

Menurutt Eng Lai salah seorang suspek dipercayai berdepan kondisi kemurungan dan kebimbangan.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati Modus Operandi yang digunakan oleh penjenayah dalam kegiatan ini didalangi oleh dua orang lelaki warga tempatan, diketuai oleh suspek yang dikenali dengan nama panggilan Adem berumur 31 tahun.

“Tiga orang suspek yang ditangkap mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah lampau manakala dua orang lagi tiada rekod manakala wanita yang ditahan itu merupakan teman wanita kepada salah seorang suspek tersebut.

“Kesemua tangkapan telah direman di IPD Sentul sehingga 10 Mac ini bagi membantu siasatan lanjut,” tegasnya.

Susulan daripada operasi yang dijalankan, kata Eng Lai pihak Polis Kuala Lumpur telah berjaya menyelesaikan sebanyak 11 kes pecah klinik yang dilaporkan di sekitar ibu negara dan 11 lagi kes di sekitar Selangor.

Tegas beliau, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan dengan kesalahan bole dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh 14 tahun.

“Dalam pada itu sedang memburu seorang lagi suspek dipercayai rakan sejenayah geng berkenaan yang masih bebas dan dikenali dengan nama Muhammad Amir Abdullah,25 atau nama gelarannya ‘Kecik’,” katanya lagi.-MalaysiaGazette