Wan Mohd Zahari Wan Busu.

KUANTAN – Pura-pura jadi mangsa samun dengan berpakat dengan dua rakannya akhirnya makan diri.

Seorang lelaki dan dua rakan subahatnya dihadapkan ke mahkamah semalam selepas disyaki cuba mengaburi pihak berkuasa dalam rancangan jahat menyamun sebanyak RM150,000.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisoner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan lanjut mendapati kejadian telah dirancang oleh mangsa sendiri bersama dua lagi rakan untuk merompak wang milik rakan kongsi mangsa di sebuah bank di sini.

“Mangsa berpura-pura menjadi mangsa samun. Rompakan tersebut telah berjaya dan wang tunai milik rakan kongsinya itu telah disalah gunakan oleh mangsa.

“Mangsa berumur 41 tahun dan dua lagi rakannya berumur 48 tahun dan 63 tahun telah dituduh di Mahkamah Majistret Kuantan pada semalam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Wan Mohd Zahari, mangsa dituduh di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyalahgunakan harta secara curang di mana jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun, sebat dan denda.

Manakala dua lagi rakan mangsa dituduh di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 403 kanun yang sama atas kesalahan bersubahat bersama mangsa menyalahgunakan harta secara curang.

Terdahulu pada 15 Februari lepas, polis telah mengesan satu video yang tular di media sosial berkaitan kejadian satu lelaki cina telah terbaring di atas jalan berhadapan dengan Ambank, Jalan Beserah di sini dipercayai telah disamun setelah keluar daripada bangunan Ambank.

“Hasil semakan dapati pada pukul 2.40 petang 14 Februari 2023, Pusat Kawalan Daerah IPD Kuantan telah menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan berlaku satu kejadian samun di hadapan bangunan Ambank.

“Siasatan awal mendapati, mangsa mendakwa telah disamun dua lelaki menaiki sebuah motorsikal di hadapan bangunan Ambank, Jalan Beserah pada jam 2.15 petang,” katanya.

Dalam kejadian itu mangsa telah terjatuh hingga terbaring atas jalan dan suspek turut melarikan wang tunai RM150,000 yang baru dikeluarkan oleh mangsa. – MalaysiaGazette