Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub (tengah) bersama Pengarah Kanan Sektor Perdagangan Pengedaran dan Perniagaan, KPDN, Datuk Rohaizi Zahari (kanan) diiringi Ketua Pemasaran di Shopee Malaysia, Kenneth Soh (kiri) merasmikan gimik pada Majlis Perasmian Jualan Rahmah Kasih Sayang Shopee di Ibu Pejabat Shopee Malaysia, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 09 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub rela dikecam demi mempertahankan inisiatif menu dan jualan Rahmah yang diperkenalkan Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, apa yang penting adalah produk dan perkhidmatan di bawah inisiatif itu berkualiti serta boleh dimanfaatkan rakyat khususnya golongan B40 dan miskin tegar.

“Sejujurnya saya pun tak kisah sangat (orang) kecam saya itu, atau nak kecam menu Rahmah ini.

“Rakyat dan para pelanggan yang akan menilai dan membuat keputusan (mengenai inisiatif jualan Rahmah).

“Saya tidak marah terhadap apa jua kecaman, tapi KPDN mengambil tanggungjawab untuk kita terus maju ke hadapan meyakinkan rakyat,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Shopee, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Jualan Rahmah Shopee yang berlangsung dari 3 Mac 2023 hingga 30 April 2023.

Pengguna Shopee dapat menikmati penjimatan sehingga 40 peratus dalam bentuk diskaun dan baucar penghantaran menjelang persiapan dan sambutan Ramadan dan Hari Raya.

Dalam pada itu, Salahuddin juga mengingatkan pengendali e-dagang itu untuk menjaga kualiti dan integriti dalam Jualan Rahmah Shopee.

“Barang itu bukan kita klasifikasikan sebagai barang orang miskin, kita hina mereka dengan barang atau menu yang tidak berkualiti. Perkara sedemikian tidak timbul.

“Barang yang djual itu adalah barang berkualiti, mereka tak kompromi.

“Nama besar Shopee tidak akan dipertaruhkan dengan memulangkan kepada rakyat dengan barang yang murah, sama ada barang, menu atau pakej, semuanya barang berkualiti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette