Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi keterangan di Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 09 MAC 2023.

PUTRAJAYA – Tuduhan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah bagi menutup satu isu besar di antara UMNO dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan mendakwa, pertuduhan terhadap bekas Perdana Menteri itu adalah bersifat terpilih.

“Jadi isu ini adalah sebahagian daripada usaha untuk menutup isu sebenar dan kita yakin bahawa tuduhan ini adalah pertuduhan terpilih dan kita harap Tan Sri Muhyiddin akan selamat dan dipelihara oleh Allah”, katanya semasa sidang media di perkarangan ibu pejabat SPRM hari ini.

Sebelum ini, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan RoS telah meluluskan usul tambahan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 untuk tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution dalam satu kenyataan turut mengesahkan kementeriannya telah memberi pengecualian kepada UMNO berhubung usul tiada pertandingan bagi dua jawatan teratas parti berkenaan dalam pemilihan akan datang.

Bagaimanapun, baru-baru ini tular sepucuk surat yang didakwa dikeluarkan oleh RoS yang mengatakan UMNO hendaklah mengambil tindakan pembetulan dengan tidak mengetepikan Perlembagaan UMNO di bawah Fasal 9.3 dalam pelaksanaan Pemilihan Majlis Tertinggi UMNO.

Dalam pada itu, Pas akan menganjurkan satu solat hajat bagi menyatakan sokongan terhadap Muhyiddin di markas parti itu, malam ini.

Tuan Ibrahim menambah, satu lagi himpunan akan diadakan di Rusila Terengganu malam ini.

“Kita arahkan seluruh markas Pas dan Bersatu serta parti dalam PN untuk solat hajat berdoa mudah Allah mudahkan perjalanan pimpinan kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

3 Komen

  1. Lebai ni otak low class.. isu pemilihan parti ni kecik je pun.. nak pilih pimpinan dlm parti politik je pun.. sejak menganggur, lebai ni banyak merapu.

  2. Paku dulang paku serpih kata orang awak tu lagi lebih,tuhan tu maha adil,berani buat berani lh tanggung,jgn salahkan orang lain, pandai2 tupai melompat akhirnya jatuh ketanah jua,terima lh padah nya,jangan ingat duit boleh buat dan beli segala2 nya.

Comments are closed.