Prof. Dr. Mohamad Agus Yusoff

PUTRAJAYA – Prof. Datuk Dr. Mohamad Agus Yusoff menzahirkan kebimbangan dengan sentimen meletakkan kesalahan pendakwaan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke atas bahu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Pengarah J-Kom itu berkata, lebih merisaukan apabila kumpulan penyokong Muhyiddin dan Perikatan Nasional (PN) menggunakan isu agama serta kaum untuk menarik simpati orang Melayu.

Tegas beliau, kenyataan seperti dakwaan terhadap Muhyiddin bersifat dendam, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) takut pada sokongan orang Melayu, dakwaan terpilih untuk mengalih perhatian bagi menutup isu Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dan menyeru umat Islam bermunajat menolak kezaliman adalah bahaya.

“Bahayanya kerana mereka akan terus menggunakan sentimen agama serta perkauman untuk menarik sokongan orang Melayu dan bahayanya kerana boleh mencetuskan rasa tidak selesa rakyat, huru hara, menakutkan pelabur dan menjejaskan ketenteraman awam.

“Kepada penyokong Muhyiddin dan PN, nasihat saya sederhana, hadapi dakwaan. Anwar dan Datuk Seri Najib Tun Razak dahulu menghadapi tuduhan tanpa mengaitkan dakwaan ke atas mereka dengan Melayu dan agama.

“Selepas itu, tunggu keputusan mahkamah. Mahkamah adalah badan bebas yang berhak menentukan keputusan seadilnya. Tambahan pula, pendakwaan terhadap Muhyiddin adalah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyiasat penyalahgunaan wang rakyat tanpa mengira sempadan politik,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Muhyiddin yang merupakan bekas Perdana Menteri kelapan tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta di sini, pada jam 8.40 pagi untuk menghadapi pertuduhan di bawah Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1)b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Menurut Dr. Mohamad Agus, Muhyiddin hanya didakwa belum didapati bersalah sehingga mahkamah memutuskannya.

“Jadi, apa yang perlu kecohnya? Yang perlu kita lakukan sekarang ialah mendokong kerajaan untuk menyelamatkan negara dari rasuah.

“Rasuah salah. Kita patut tangkap perasuah. Jika pemimpin menghadapi tuduhan rasuah, kita bicarakan mereka dengan adil. Jangan jadikan rasuah sebagai modal politik perkauman untuk mengganggu kestabilan politik negara,” katanya.

Kata beliau, sebelum ini ketika Najib bergelumang dengan kes 1MDB dan salah guna kuasa, Muhyiddin menjadi jaguh mendesak mantan Perdana Menteri keenam itu didakwa untuk membersihkan negara ini.

“Peliknya, selepas disiasat semalam, beliau bukan mengambil kesempatan untuk membersihkan parti dan dirinya, tetapi mendakwa tuduhan ke atasnya adalah pendakwaan politik terpilih.

“Malah, pagi semalam, ketika Muhyiddin dipanggil ke ibu pejabat SPRM untuk disiasat, penyokongnya menjerit “Lawan Kezaliman”, “Tolak Kezaliman”, “Tolak BN”, “Tolak Anwar”, “Anwar Pendendam”, “Hidup Abah”, “Hancur Anwar”, “Hancur PH”, “Bangkit Melayu” dan “Bangkit Islam”.

“Apa yang zalimya Kerajaan Perpaduan dan Anwar apabila Muhyiddin didakwa? Sejak awal lagi, Anwar telah menyatakan tidak akan campur tangan dalam kes sebegini dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dan mendakwa,” ujar beliau.

Beliau juga hairan apabila ada yang menyatakan dakwaan itu tidak adil, sedangkan semua yang terlibat dalam penyiasatan dan pendakwaan ini iaitu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Peguam Negara, Ketua Polis Negara, Ketua Hakim Negara adalah lantikan sebelum Anwar menjadi Perdana Menteri lagi. – MalaysiaGazette