KUANTAN – Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) mengeluarkan 244 notis Seksyen 32B, Akta Makanan 1983 dengan nilai kompaun yang ditawarkan berjumlah RM88,300.
Pengarahnya, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, notis tersebut dikeluarkan dalam tempoh dua hari dalam Operasi Premis Makanan Bersih dan Penguatkuasaan Program Jaminan Keselamatan Makanan Dan Kebolehkesanan Makanan Negeri Pahang 2023.
“Sebanyak 31 kilang makanan dan 58 restoran dan kedai makan telah diperiksa dalam operasi kali ini.
“Operasi bertujuan untuk mengambil tindakan penguatkuasaan kepada pengilang-pengilang produk makanan yang tidak mematuhi kehendak-kehendak yang telah diperuntukkan di bawah Peraturan 9 dan peraturan 10,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Peraturan 9 memperuntukkan tidak mengadakan dan menyediakan program jaminan keselamatan makanan serta Peraturan 10 iaitu tidak mengadakan sistem kebolehkesanan makanan mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 Akta Makanan 1983.
Selain itu katanya, pemeriksaan premis makanan bersih juga dijalankan bagi memastikan premis makanan mematuhi kehendak-kehendak yang telah diperuntukkan di bawah Akta Makanan 1983.
Antara kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 Akta Makanan 1983 yang telah dikesan ialah 140 kesalahan di bawah Peraturan 32 membabitkan pengendali makanan tidak memakai topi, apron dan kasut semasa mengendalikan makanan dengan jumlah kompaun sebanyak RM14,000.
Tambah Dr. Nor Azimi, sejumlah 34 Kesalahan dikesan di bawah Peraturan 33 iaitu pengendali makanan gagal memastikan kuku sentiasa pendek dan tidak memakai perhiasan diri ketika mengendalikan makanan dengan jumlah kompaun sebanyak RM5,100.
Operasi tersebut telah dilaksanakan di daerah Kuantan bermula pada 9 dan 10 Mac 2023 melibatkan 50 orang anggota penguatkuasa JKNP. – MalaysiaGazette