KUANTAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pahang mengesan enam buah tangki skid yang berisi minyak diesel sebanyak 106,000 liter dalam serbuan Ops Tiris, di sini, kelmarin.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Pahang, Muhamad Radzi Johari berkata, berdasarkan aduam awam, pihaknya menghidu penyelewengan minyak diesel bersubsidi yang dilakukan sindiket di sebuah setor penyimpanan tidak berlesen di Tanah Putih Baru berhampiran tepi Sungai Kuantan.

Muhamad Radzi Johari

“Serbuan telah dilakukan oleh sepasukan anggota penguatkuasa daripada KPDN Pahang kira-kira jam 6 petang hasil risikan yang telah dilakukan selama seminggu.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas keseluruhan lokasi telah menemui enam buah skid tank dan beberapa peralatan yang digunakan untuk memindahkan minyak serta beberapa dokumen berkaitan. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM266,900.

“Kertas Siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenalpasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini,” katanya.

Pegawai KPDN Pahang melakukan pemeriksaan di sebuah kontena yang dijadikan stor dalam aktiviti penyelewengan minyak diesel di sini

Katanya, siasatan lanjut serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut termasuk sumber minyak diesel itu diperolehi dan diedarkan akan dijalankan secara terperinci.

Individu yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah AKB 1961 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua- duanya sekali.

Syarikat yang disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

KPDN Pahang telah membuat sebanyak 157 pemeriksaan di semua peringkat pemborong dan peruncit sepanjang tempoh pelaksanaan Ops Tiris yang berjalan bagi mencegah isu ketirisan minyak diesel yang bermula 1 Mac lalu.

Sejak Januari 2023 sebanyak sembilan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang melibatkan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi dengan nilai rampasan sejumlah RM520,232.90. – MalaysiaGazette