KUALA LUMPUR – Badan bukan kerajaan (NGO) membantah cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar pencarum membuat pinjaman dengan menjadikan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai cagaran.
Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGRIM) Azmi Tahir berkata, cadangan yang dibuat Anwar dalam Dewan Rakyat semalam tidak langsung membantu pencarum yang mengalami desakan hidup akibat himpitan ekonomi.
“PGIRM menerima banyak aduan melalui e-mel dan SMS daripada pencarum yang membantah sekeras-kerasnya cadangan ini.
“PGIRM juga telah mendapat makluman daripada Peguam kami bahawa di dalam Akta KWSP Seksyen 51 sendiri menyatakan deposit caruman KWSP tidak boleh dicagarkan kepada pihak ketiga,” tegas beliau.
Azmi mendakwa cadangan yang dilontarkan Anwar akan mendatangkan beban kepada pencarum yang terpaksa menambahkan hutang.
Beliau menjelaskan, hasrat sebahagian besar pencarum mendesak pengeluaran KWSP adalah untuk menyelesaikan hutang yang tertunggak.
“Tuntutan pengeluaran kecemasan bersasar ini bertujuan untuk menyelesaikan hutang-hutang yang tertunggak dari pihak bank, syarikat kredit, pinjaman ah long, pinjaman peribadi dari kenalan terdekat dan permasalahan lain yang sedang dihadapi oleh rakyat.
“Bukan dengan menambah lagi hutang sedia ada untuk selesaikan hutang yang lain,” kata Azmi dalam kenyataan.
Semasa sesi penggulungan usul Belanjawan 2023 Peringkat Dasar semalam, Anwar berkata, kerajaan akan memperkenalkan kaedah yang membolehkan pencarum KWSP menggunakan wang caruman di agensi itu sebagai cagaran kepada bank bagi tujuan pembiayaan kewangan.
Menurut Perdana Menteri, kaedah itu boleh ditawarkan kepada mana-mana pencarum KWSP yang ‘terdesak’ untuk mendapatkan pinjaman kewangan dengan cagaran daripada agensi terbabit.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pihaknya menyifatkan kaedah KWSP memberikan ruang kepada pencarum yang mempunyai wang dan dalam keadaan terdesak pinjam dari bank, dengan jaminan cagaran bank, adalah yang terbaik.
Anwar berkata, mereka yang dicadangkan boleh melakukan pengeluaran itu hanya tertumpu kepada yang mempunyai wang dalam KWSP.-MalaysiaGazette
Bodoh punya kerajaan org nk langsai hutang bkn nk hutang apa punya bodoh cadangan yg dia bg nie,klu mcm nie makin beban rakyat bodoh la
betul susah kerajaan sekarang ini untuk dgr kesusahan rakyat bawahan.