Gambar hiasan

KUANTAN – Seramai 15 individu berusia 15 hingga 50 tahun ditahan susulan kes rusuhan di tepi jalan hadapan Taman Kelau Jaya di Raub dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abd Rahman berkata, siasatan awal mendapati punca pergaduhan disebabkan tindakan pengadu menegur sekumpulan lelaki yang memarahi beberapa orang remaja lelaki di tempat kejadian.

Tambahnya tindakan pengadu itu kemudiannya menimbulkan pertengkaran mulut dan berakhir dengan pergaduhan.

“Polis telah menerima satu aduan semalam daripada serorang lelaki mendakwa berlaku satu pergaduhan yang berlaku pukul 10.30 malam dalam kejadian 7 Mac lalu.

“Ekoran daripada kejadian tersebut, pihak polis telah membuat tangkapan terhadap  15 orang suspek di sekitar kawasan Sungai Ruan.

“Manakala saki baki mereka yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan tersebut masih giat dijalankan oleh polis,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Shahril berkata, kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu merusuh.

Polis menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan menjaga kesejahteraan serta keamanan masyarakat dan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana individu menganggu ketenteraman awam.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentang kejadian tersebut boleh menghubungi bilik gerakan Ibupejabat Polis Daerah Raub di talian 09-355 2222. – MalaysiaGazette