KUALA LUMPUR – Platform sosial media, TikTok telah bekerjasama dengan pameran kesihatan dan kesejahteraan, Ekspo HealWell 2023 yang akan dianjurkan pada 11 dan 12 Mac ini di MAHSA Avenue.

Menurut satu kenyataan, Ekspo HealWell merupakan pameran pertama seumpamanya yang diadakan di Malaysia yang direka bentuk untuk semua lapisan umur dengan kemasukan percuma.

“Ekspo ini bukan hanya bertujuan untuk menghilangkan kebimbangan berkenaan pemeriksaan kesihatan, tetapi juga meningkatkan kesedaran tentang pelbagai jenis produk penjagaan kesihatan yang baharu dan sedia ada dalam pasaran melalui aktiviti interaktif dan bersifat pendidikan,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, Ekspo HealWell akan menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma untuk pelbagai jenis keadaan perubatan dan kemudiannya memberikan cadangan penjagaan yang diperlukan.

Tambahnya, antara agensi yang mengambil bahagian dalam ekspo tersebut termasuk MAKNA, Bulan Sabit Merah, LION’s Eye dan Projek Autisme Awal.

Ia akan memberi laluan kepada orang awam untuk mendapatkan saringan kesihatan dan bimbingan khusus secara percuma seperti pemeriksaan mata, gigi, rawatan fisioterapi, saringan awal demensia, saringan perkembangan lewat percuma untuk kanak-kanak, diagnostik percuma seperti ujian kefungsian paru-paru, ultrabunyi abdomen, analisis komposisi badan dan banyak lagi.

Sempena Ekspo HealWell 2023, ahli penjagaan kesihatan profesional di TikTok berkongsi maklumat dan petua. – MalaysiaGazette