umat islam mengundi kerajaan besar
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah membuat laporan polis terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Balai Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.

Laporan itu dibuat bagi membolehkan polis menyiasat kenyataan pemimpin Pas itu berhubung kenyataannya yang mendedahkan Perikatan Nasional (PN) ada perancangan untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

Katanya, kenyataan itu secara tidak langsung boleh menjejaskan usaha kerajaan bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memulihkan ekonomi negara yang terjejas akibat ketidakstabilan politik sepanjang penggal PRU14.

“Kenyataan beliau juga amat tidak baik kepada negara terutama dari segi pelaburan asing yang tentunya mereka takut untuk datang melabur kerana bakal berlaku pertukaran kerajaan.

“Ini akhirnya menjejaskan kehidupan rakyat, yang menaruh harapan kepada Kerajaan Perpaduan untuk memulihkan ekonomi negara dan ekonomi mereka.

“Dalam keadaan politik hari ini, kita minta Abdul Hadi sebagai orang lama dalam politik negara tidak mempunyai rancangan yang boleh mengganggu-gugat kestabilan negara,” katanya.

Isnin lalu, Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN dilaporkan berkata, tindakan menjatuhkan kerajaan adalah biasa dalam politik.

Kata beliau, PN berhak untuk meneruskan rancangan menumbangkan Kerajaan Perpaduan walaupun ada yang meremehkan perkara itu.

Menurut Armand Azha, Kerajaan Perpaduan yang wujud selepas PRU15 November lalu adalah lahir daripakan titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong, selepas PN menolak nasihat baginda.

“Jadi, apabila ada gerakan seperti ini, bagi saya sebagai seorang pemimpin parti, saya melihat ini adalah satu perkara yang tidak sihat kepada negara,” katanya.

Kata Ketua UMNO Bahagian Subang itu, sama ada Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang bergurau dalam kenyataannya, terserah kepada polis untuk membuat siasatan. – MalaysiaGazette