Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 30 peratus kad pengenalan kanak-kanak (MyKid) yang telah disiapkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) masih gagal dituntut oleh ibu bapa atau penjaga sehingga kini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia merupakan satu angka yang tinggi yang hanya akan merugikan ibu bapa jika mereka tidak tampil segera menuntut MyKid anak mereka.

“Saya menyeru kepada ibu bapa atau penjaga yang berkenaan dan telah memohon mendapat MyKid yang telah siap agar tampil menuntut dokumen itu dengan kadar segera.

“Ini kerana MyKid mempunyai satu tempoh yang tertentu untuk mereka (ibu bapa atau penjaga) tampil tuntut MyKid.

“Sekiranya tidak dituntut mengikut tempoh yang ditetapkan ia akan dilupuskan oleh JPN.. jangan ambil ringan, bayangkan 30 peratus itu merupakan jumlah yang besar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan dan mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia kali ke-29 dan ke-30 di Maktab Polis Diraja Malaysia di Cheras hari ini.

Saifuddin pada masa yang sama mengakui berlaku kelewatan dalam menyiapkan MyKid oleh JPN seperti yang disuarakan oleh ibu bapa sejak kebelakangan ini.

Bagaimanapun, katanya, bagi menangani masalah berkenaan satu proses pemerolehan tender KDN (pembekal MyKid) telah dibuka dan satu syarikat telah berjaya mendapatkannya.

“Apabila berlaku proses ketidakcukupan (bahan untuk membuat MyKid) maka proses untuk mengeluarkan MyKid juga terjejas dan terganggu.

“Oleh itu, saya telah mengeluarkan arahan khusus agar masalah (lambat peroleh MyKid) berkenaan dapat ditangani segera termasuklah mengadakan perbincangan dengan meminta syarikat terlibat mematuhi prasyarat perkara yang ditentukan ketika proses pemerolehan tender,” ujarnya.

Pada Januari lalu, media melaporkan mengenai kekurangan mikrocip di peringkat global menjadi punca kepada berlakun kelambatan pengeluaran MyKid diserahkan kepada pemohon.

Ketua Pengarah JPN, Datuk Ruslin Jusoh dilaporkan berkata, masalah itu berlaku sejak pandemik Covid-19 lalu dan pihaknya terpaksa menangguhkan sementara pengeluaran MyKid.-MalaysiaGazette