Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berselawat ketika hadir pada Selawat dan Munajat Perdana untuk Malaysia ketika di Stadium Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 11 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri mengajak semua pihak di seluruh negara agar mengimarahkan majlis ilmu seperti munajat dan selawat di negeri masing-masing.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, majlis seumpama itu wajar diterapkan supaya lebih segar dan dapat menarik seluruh umat ke arah kebaikan.

“Majlis ini majlis amal, munajat. Kita boleh ikhtiar, merangka, adakan strategi ekonomi, budaya dan pemerkasaan dalam pelbagai bidang, tapi kita harus tawakal kepada Allah.

“Oleh itu, majlis seperti ini patut kita terapkan, selaras dengan Malaysia Madani iaitu yang memberi erti, negara ini bertamadun, addin, maddinah atau lebih tepat usaha perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Selawat dan Munajat Perdana untuk Malaysia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam ini.

Program bermula kira-kira pukul 7.30 malam dengan solat Maghrib berjemaah yang pimpin oleh Sheikh Abdul Karim Omar al-Fatani al-Makki.

Anwar dan isteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail tiba kira-kira pukul 7.50 malam dalam keadaan  hujan.

Menurut Anwar, usaha perpaduan memberi manfaat dan kekuatan kepada masyarakat untuk mengangkat martabat dan karamah insaniah.

Beliau juga mengajak umat Islam supaya berpegang kepada pangkalnya iaitu keyakinan diri kepada Allah dan mendekati Rasulullah SAW dengan mengingatkan selawat ke atasnya.

“Ayuhkan rakan-rakan di seluruh negara, jadikan majlis seperti ini sesuai dengan konsep madani iaitu semarakkan semangat kepada ummah untuk sentiasa berselawat kepada Rasul dan gunakan juga majlis seperti ini untuk meningkatkan kefahaman ilmu di kalangan umat Islam,” katanya.

Selepas merasmikan program itu, beliau bersama tetamu kenamaan membaca selawat Nuril Anwar yang diketuai Sheikh Razak al-Masri.

Program Munajat dan Selawat Perdana untuk Malaysia dianjurkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Ia bertujuan untuk memuliakan Rasulullah SAW dan mendekatkan diri dengan Allah.

Program itu turut menyaksikan kehadiran ulamak terkenal, Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar dan johan qari Tilawah al-Quran Antarabangsa, Amirahman Abbas. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. tidak perlu menyalak IMARAH MAJLIS ILMU tetapi dalam masa yang sama berdolak-dalik dengan ajaran dan hukum hakam ISLAM yang SYUMUL….BUDAYA MUNAFIK FITNAH RASUAH ADU DOMBA DENDAM POLITIK bersarang dalam kerajaan MADANI sekarang

    BERPURA-PURA itu sebahagian ciri MUNAFIKUN….TAAT ALLAH dan RASULLULAH tetapi jadi jaguh untuk NAIK DARJAT KEMUNGKARAN,,,,MAJLIS ILMUAN FARDHU AIN KIFAYAH jadi TAK PAYAH tuntut
    akhir zaman yang mungkar maksiat DIAGUNGkan….YANG MAARUF diperlekehkan pelbagai alasan
    yang BENAR SEBAGAI PEMBOHONG….dan PEMBOHONG sebagai BENAR

Comments are closed.