Datuk Seri Mahdzir Khalid

KUALA NERANG – UMNO telah mengenal pasti kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah yang disasar untuk ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, kata Naib Presidennya Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau yang enggan mendedahkan bilangan kerusi itu berkata keputusan akhir mengenai perkara itu bagaimanapun akan diputuskan oleh Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang akan bermesyuarat pada 19 Mac ini.

Mahdzir yang dilantik sebagai bapa angkat bagi mengetuai gerak kerja parti di Kedah oleh Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO secara dalaman telah mengadakan perbincangan berkaitan perkara itu.

“Kita telah mengadakan mesyuarat di peringkat UMNO sendiri beberapa kali dan dan telah mengadakan mesyuarat dengan BN di peringkat negeri, dan kita ada pertemuan tidak rasmi dengan pemimpin-pemimpin daripada Pakatan Harapan (PH), malah saya juga berjumpa ahli-ahli Yang Berhormat PH dua minggu lepas.

“Ini perbincangan tak rasmi, sebab kita tunggu keputusan akhir daripada jawatankuasa induk PH-BN (Sekretariat Kerajaan Perpaduan) di peringkat nasional,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau perjalanan Mesyuarat Perwakilan Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Padang Terap di sini hari ini.

Sementara itu, mengenai pertandingan bagi jawatan Naib Presiden UMNO Mahdzir berkata beliau menyerahkan kepada para perwakilan di seluruh negara untuk menentukan kedudukannya pada pemilihan minggu depan.

“Saya fikir para perwakilan pimpinan bahagian mempunyai justifikasi apabila mereka buat keputusan berkaitan siapa yang patut diberi peluang berkhidmat sebagai Naib Presiden dan saya yakin mereka juga tidak menolak saya,” katanya.

Mahdzir sebelum ini mengumumkan akan mempertahan jawatan naib presiden yang disandangnya itu, dan akan bersaing dengan tujuh calon lain bagi merebut tiga kerusi jawatan berkenaan pada pemilihan kali ini.- BERNAMA

1 Komen

  1. sebagai syarat menghormati UMNO KEDAH PH boleh bagi 5 kerusi je.
    untuk UMNO membuktikan KESETIAAN PASRAH berilah semua DUN KELANTAN dan TERENGGANU kepadanya dan jika atau kalau lah MENANG maka untuk next PRU dan PRN boleh lah ditambah bawah 5% lain-lain kerusi di DUN dan Parliament.
    DUN SELANGOR bagilah 7
    DUN PULAU PINANG sedekah 5
    DUN NEGERI SEMBILAN pilihkan 9
    suruh UMNO buktikan terima arahan ini sebagai KESETIAAN

Comments are closed.