Operasi mencari dan menyelamat dijalankan bagi mengesan Nazrul Aimi yang dipercayai lemas selepas mandi bersama empat rakan sebayanya di Pantai Chempaka, Kuantan semalam.

KUANTAN – Seorang pelajar berusia 15 tahun disyaki lemas selepas mandi bersama empat rakannya di Pantai Cempaka, di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, operasi mencari mangsa bersambung hari kedua pada pagi ini.

Wan Mohd Zahari Wan Busu.

Dalam kejadian semalam, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Soi, Nazrul Aimi Shah Kamarul Bahridi laporkan hilang setelah dipukul ombak dan dihanyutkan arus ketika mandi di pantai itu.

“Pada pukul 3.30 petang semasa sedang mandi di tepi pantai mangsa dan rakan-rakan telah dipukul ombak dan telah dihanyutkan arus ke kawasan agak dalam.

“Empat rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tepi pantai manakala mangsa didapati telah hilang.

“Semasa hilang, mangsa mangsa memakai pakaian baju dan seluar warna gelap,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Wan Zahari, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kejadian berlaku di Pantai Cempaka dan angin kencang dan ombak yang agak tinggi  manakala air laut sedang pasang semasa kejadian.

“Bendera merah ada dinaikkan sepanjang pantai menandakan larangan untuk sebarang aktiviti pantai. Tiada menara atau petugas pengawal pantai di lokasi kejadian,” ujarnya.

Susulan itu, Wan Mohd Zahari berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dilancarkan bermula malam tadi.

“Penugasan SAR bertumpu kepada rondaan di sepanjang pesisir pantai Cempaka hingga ke Pantai Sepat. Penggunaan bot penyelamat tidak begitu sesuai memandangkan keadaan angin kencang dan obak tinggi di kawasan persisiran pantai,” katanya. – MalaysiaGazette