HULU SELANGOR – Gara-gara salah faham semasa minum arak, nyawa seorang lelaki warga Myanmar melayang apabila disyaki dibunuh di rumah pekerja Ladang Sungai Gumut, Kampung Sungai Serian, Kalumpang kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus berkata, mangsa berusia 29 tahun itu ditemui mati dalam keadaan isi perut terburai.
“Siasatan awal mendapati pengadu yang juga seorang pekerja ladang memaklumkan berlaku pergaduhan membabitkan dua lelaki warga asing sebelum salah seorang daripadanya mengalami kecederaan parah dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan tengah malam tadi.
Tambah Mohd Asri lagi, bertindak atas maklumat itu, pihaknya telah membuat serbuan sebelum menahan dua lelaki warga asing semalam.
Kedua-dua suspek berkenaan dipercayai tinggal bersama dengan mangsa yang meninggal dunia.
“Susulan tangkapan dua suspek itu, polis berjaya membuat satu lagi serbuan sebelum berjaya memberkas seorang lagi lelaki di kawasan hutan berhampiran lokasi kejadian pada hari yang sama.
“Polis percaya hubungan suspek dengan mangsa adalah mempunyai pertalian adik saudara,” ujarnya.
Hasil ujian air kencing ke atas ketiga-tiga suspek berusia 28 hingga 33 tahun didapati negatif sebarang jenis dadah dan tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan jenayah lampau.
Dua suspek telah direman selama 14 hari bermula Jumaat lalu manakala seorang lagi suspek dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu dan direman kemudian untuk membantu siasatan lanjut polis.
Kes berkenaan sedang dijalankan siasatan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Dengan tangkapan ketiga-tiga suspek berkenaan, polis yakin berjaya menyelesaikan kes pembunuhan warg asing itu kurang daripada 24 jam selepas kejadian berlaku,” tegasnya.-MalaysiaGazette