SUNGAI PETANI – Dua beradik lelaki warga Rohingya ditemui mati lemas di sebuah lombong di Kampung Permatang Kedundung, Tikam Batu, di sini, hari ini.
Mayat mangsa, Mamod Shukur Belal Hussain, 4, ditemui pada jam 8.05 pagi manakala mayat abangnya, Muhammad Nazeri pula dijumpai jam 2.45 petang oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).
Kehilangan mereka disedari keluarga pada waktu maghrib sebelum mendapati dua beradik itu mandi di lombong berhampiran kediaman mereka.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu, Penolong Penguasa Bomba Mohd Syukri Hashim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 9 malam semalam sebelum menggerakkan anggota ke lokasi.
“Pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian menemui pakaian dipercayai milik mangsa berdekatan lokasi kejadian sebelum melakukan usaha pencarian secara permukaan.
“Seorang mangsa lemas dijumpai dalam jarak kira-kira 400 meter daripada tebing lombong manakala abangnya pula 15 meter dari lokasi sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan mengesahkan kejadian.
“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk proses bedah siasat,” katanya. – MalaysiaGazette