Salahuddin Ayub

KOTA KINABALU – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata sebanyak 1,531 premis perniagaan telah mendaftar dalam melaksanakan Inisiatif Menu Rahmah di seluruh negara setakat ini dan bilangan itu dijangka terus meningkat.

Beliau berkata, daripada jumlah berkenaan, sebanyak 105 premis makanan di Sabah telah menyertai program itu termasuk sebuah hotel di Sandakan yang menjadi hotel pertama di negara ini menawarkan pakej penginapan dengan harga Rahmah sepanjang Ramadan akan datang.

“Sehubungan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyeru lebih ramai lagi pemain industri khususnya restoran, makanan dan peruncitan Sabah supaya bersama-sama dengan kerajaan untuk menjayakan aspirasi ini bagi meringankan kos sara hidup rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Menu Rahmah di Restoran BTC Bistro di Inanam di sini hari ini.

Salahuddin berkata, Menu Rahmah ialah inisiatif terbaharu kerajaan dalam membantu dan mengurangkan kos sara hidup rakyat terutama golongan yang memerlukan untuk mendapatkan makanan bermasak yang seimbang pada harga RM5 dan ke bawah.

“Menu Rahmah ialah inisiatif sukarela syarikat swasta yang kerajaan tidak menentukan harga, kaedah pelaksanaan, bahan-bahan, serta lauk bagi Menu Rahmah yang ditawarkan, asalkan ia seimbang dengan kandungan protein, karbohidrat dan serat berupa sayur-sayuran.

“Berdasarkan maklum balas daripada peniaga yang telah menyertai inisiatif ini, Menu Rahmah telah dijadikan model perniagaan Daya Penarik Pelanggan untuk menarik pelanggan ke premis mereka.

“Dengan itu, pendapatan mereka dapat ditingkatkan melalui kuantiti jualan yang dapat menampung pengurangan margin dan pada masa yang sama turut bersama-sama dalam usaha kebajikan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan sentiasa komited dalam membantu mempromosi premis yang menyediakan Menu Rahmah.

Katanya, KPDN telah mewujudkan satu portal bagi membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat lokasi premis menjual Menu Rahmah yang berdekatan dan peniaga juga boleh mendaftar penyertaan mereka dengan melayari https://menurahmah.kpdn.gov.my.

Sementara itu, Salahuddin berkata, menjelang Ramadan, Pegawai-Pegawai Penguat Kuasa KPDN akan ditugaskan di lokasi-lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah barangan keperluan perayaan.

Beliau berkata, KPDN Sabah telah melantik 170 peruncit daerah terpilih (DDR) dan 89 pemborong daerah terpilih (DDW) di seluruh Sabah bagi tujuan pemantauan kedudukan bekalan barangan keperluan asas di negeri ini.

“Kedudukan bekalan barang keperluan asas berdasarkan peruncit dan pemborong yang dilantik di setiap daerah di Sabah ini akan menjadi penanda aras ke atas bekalan barang keperluan asas di daerah-daerah berkenaan,” katanya. – Bernama