Muhyiddin presiden
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama timbalannya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada Perhimpunan Agung Tahunan kali yang ke lima tahun 2022 Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Menara PGRM, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) setelah Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2022 hari ini sebulat suara meluluskan usul menolak peletakan jawatan beliau.

Usul daripada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu dibentangkan oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan disokong oleh Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) memaklumkan, beliau telah menawarkan diri untuk meletak jawatan dalam mesyuarat MPT Bersatu semalam.

Menurut beliau, ia adalah berikutan kedudukannya yang sedang berdepan beberapa pertuduhan di mahkamah ketika ini.

“Sebagai mendukung prinsip dan moto perjuangan parti kita iaitu ‘Bersatu, Bermaruah dan Beramanah’, saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas pertuduhan terhadap diri saya.

“Walau bagaimanapun, MPT Bersatu telah menolak tawaran saya untuk meletak jawatan.

“Perwakilan pada hari ini juga telah meluluskan usul menolak peletakan jawatan Presiden dan atas kehendak Perhimpunan Agung Tahunan, saya meneruskan tugas saya sebagai Presiden parti,” jelasnya.

Muhyiddin berdepan enam pertuduhan iaitu empat membabitkan dakwaan menerima suapan berjumlah RM232.5 juta manakala dua lagi pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta empat tahun lalu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Terdahulu, Ahmad Faizal ketika membentangkan usul berkenaan berkata, tidak berbangkit isu dan keperluan untuk Muhyiddin meletak jawatan malah Bersatu tidak akan wujud tanpa beliau.

Beliau menambah, kelangsungan Bersatu adalah kerana komitmen Muhyiddin dan kejayaannya serta keyakinan rakyat terhadap beliau.

“Pengorbanan yang dilakukan oleh Abah kita tidak boleh dipertikaikan lagi. Pelbagai jenis cabaran dan dugaan, naik dan turun telah dilalui olehnya,” katanya.

Sementara itu, Hamzah ketika menyokong usul tersebut berkata, Muhyiddin bukan hanya Presiden Bersatu malah beliau merupakan simbol penentangan kepada kemungkaran dalam menegakkan keadilan.

“Jangan dinoktahkan perjuangan yang suci, ikhlas dan jujur ini. Hasrat musuh untuk tamatkan perjuangan Tan Sri, kami tidak izinkan, kami mahu Tan Sri terus berjuang sebagai Presiden kami,” tegasnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Haaa cakap tak serupa bikin..manusia paling pembohong! Kata cuma saksi SPRM..tp rupanya suspek! Lepas tu kata tak kan letak jawatan selagi belum ada dakwaan…dah kena dakwa skrg tp tak letak pun??? Kaki pembohong dan kaki fitnah tegar musibat punya manusia ni

Comments are closed.