KUALA LUMPUR – Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi telah membuka kertas siasatan melibatkan perhimpunan dan perarakan yang diadakan di hadapan Kompleks Sogo dan Dataran Merdeka, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Noor Dellhan Yahaya berkata, hasil pemerhatian mendapati perhimpunan yang diadakan pada 10 pagi tadi disertai seramai 150 orang terdiri daripada aktivis hak asasi (NGO), mahasiswa dan ahli parti politik.

Katanya, peserta himpunan tersebut memegang plakad di antaranya “Imagine If Men Are As Disgusted With Rape As With Periods, Child Not Pride, Trans Women Are Woman, Police Your Behaviour Not My Body” dan lain-lain lagi.

“Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya menerusi kenyataan.

Ujar Noor Dellhan, polis sedang mengenal pasti semua peserta himpunan dan akan dipanggil ke IPD Dang Wangi untuk memberikan keterangan.

“Kertas siasatan ini akan dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan lanjut. Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang
perhimpunan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang,” katanya.

Berdasarkan video yang tular di media sosial, himpunan berkenaan digelar sebagai Woman’s March. – MalaysiaGazette