penjara
Gambar hiasan.

MELAKA – Polis mehahan tujuh lelaki yang disyaki memukul dua pemuda berumur 20an dalam pergaduhan yang berpunca daripada permainan video dalam talian Mobile Legend, di Telok Mas, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Christopher Patit berkata, pergaduhan berlaku semasa pengadu bersama seorang rakannya yang berada di sebuah stesen minyak, didatangi sekumpulan lelaki bermotosikal yang kemudian bertindak memukul mereka.

Beliau berkata, pengadu menerima 10 jahitan di dahi dan patah tulang hidung akibat dipukul dengan topi keledar.

“Siasatan awal mendapati pergaduhan itu tercetus berikutan rasa tidak puas hati kerana maki hamun ekoran keengganan bermain mobile legend,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, semua tujuh lelaki berumur 16 hingga 28 tahun itu ditahan di Jalan Kota di sini sekitar tengah malam tadi, dan kes disiasat mengikut 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera, serta Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana bergaduh.

Ketujuh-tujuh suspek direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan. – Bernama