Calon Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Zaid Ibrahim bercakap pada program Skop MG di Studio MG, Sungai Besi. Foto FAREEZ FADZIL, 09 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Sentimen beberapa pihak kononnnya Melayu terutama UMNO menggadai maruah apabila bekerjasama dengan Pakatan Harapan terutamanya DAP hanya merugikan negara.

Calon Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Zaid Ibrahim berkata, sudah tiba masanya masyarakat Melayu di negara ini berfikiran terbuka jika mahukan sebuah negara yang aman daripada sudut politik dan ekonomi.

Beliau berkata, gabungan UMNO bersama Pakatan Harapan merupakan satu gagasan yang lebih luas di mana terdapat pelbagai agama, kaum dan bangsa di dalamnya.

“Saya dah keliling parti-parti di Malaysia ini dan tahu kelebihan dan kelemahan setiap parti.

“Saya faham, kita dah cakap pasal DAP lebih 30 tahun, tapi DAP itu pun manusia juga dan tidak mengancam Malaysia dan mereka bercakap untuk kebaikan negara ini sama seperti yang lain.

“Tambahan pula, parti itu sudah didaftarkan serta ramai ahli Parlimen mereka yang baik dan ahli-ahli mereka juga mempunyai kelulusan yang baik juga,” katanya kepada Malaysia Gazette menerusi program SKOP MG.

Jelasnya lagi, jika ada ahli UMNO yang masih takut dengan Kerajaan Madani hari ini, ia hanya menunjukkan sikap tidak matang.

“Apa yang boleh kita buat dengan Pas? Pas perintah Kelantan 30 tahun, kemudian Terengganu. Berapa banyak pelaburan yang dapat dibawa ke Terengganu dan Kelantan, tapi dua negeri ini hanya mencatat masalah sosial yang banyak.

“Di peringkat nasional, nak cakap mengenai Melayu saja, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana Menteri, kemudian ada Tan Sri Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub.

“Masa mereka ini semua perintah, ada yang mengunci Parlimen, buat darurat yang tidak sepatutnya, belanja RM5 bilion untuk vaksin dan macam-macam lagi.

“Pengurusan negara tak semestinya baik jika hanya satu kaum saja yang perintah,” katanya lagi.

Zaid turut mengambil contoh bagaimana Pakistan yang turut berdepan masalah walaupun sebuah negara Islam.

“Tengok di Pakistan, apa yang berlaku? Mereka menembak sesama sendiri dan adakah kita mahu jadi seperti itu?

“Satu perkara yang perlu kita akui adalah pembayar cukai tertinggi di negara kita adalah kaum Cina.

“Jadi, kita kenalah hidup bersama dan menjayakan ekonomi negara dengan baik. Sudah menjadi tugas kita ahli UMNO meyakinkan rakyat di luar bahawa kerajaan hari ini boleh membantu walaupun ada orang cakap ini parti Cina,” tegasnya.

Tambah Zaid lagi, keyakinan itu sangat penting kerana pelabur melihat kepada kesejahteraan politik dan kestabilan ekonomi yang baik.

“UMNO sendiri tak boleh bagi kekuatan itu secara bersendirian, kena melalui perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, maka kita kenalah lakukan yang terbaik untuk menjayakan proses ini. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast