Ahmad Zahid Hamidi. Foto HAZROL ZAINAL, 14 JANUARI 2023.

JOHOR BAHRU – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid menyatakan UMNO termasuk dirinya sentiasa terbuka dengan cadangan melibatkan had usia calon yang bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda parti itu kepada 40 tahun sahaja berbanding tanpa had usia, ketika ini.


JOHOR BAHRU – UMNO sentiasa terbuka dengan cadangan melibatkan had usia calon yang bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda kepada 40 tahun sahaja berbanding tanpa had usia, ketika ini.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, bagaimanapun perkara itu perlu diperhalusi dan mengikut prosedur yang ditetapkan, termasuk mendapatkan kelulusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sebelum dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU).

“Ketika saya jadi Ketua Pemuda UMNO dahulu, saya juga ada terfikir seperti itu (hadkan usia Ketua Pemuda UMNO kepada 40 tahun), namun sehingga kini situasi masih dikekalkan mengikut kesesuaian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media mengenai majlis Pengenalan Calon-Calon Naib Presiden dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Peringkat Negeri Johor di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid turut menyuarakan bahawa beliau tidak akan mengamalkan sikap ‘favouritism’ dalam mempengaruhi perwakilan untuk memilih mana-mana calon dalam pemilihan parti yang sedang berlangsung ketika ini.

Malah pihaknya juga berharap semua calon-calon yang menang untuk jawatan Naib Presiden, MKT, serta Ketua Sayap dan Ketua Bahagian akan mengetepikan sebarang sengketa yang mungkin timbul sewaktu pemilihan berlangsung.

Malah apa yang lebih penting adalah untuk memberi sokongan terhadap mana-mana calon yang menang.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu, keputusan akhir pemilihan UMNO melibatkan jawatan tertinggi pusat akan diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad pada 18 Mac ini.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast