Dr. Abd. Ghani Ahmad

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta menyatakan pendirian sama ada akan melantik Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara yang baharu, selaras dengan pentadbiran kerajaan hari ini.

Persoalan itu dikemukakan Ahli Parlimen Jerlun dari Perikatan Nasional (PN), Dr. Abd. Ghani Ahmad memandangkan ia pernah dibangkitkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said sebelum ini.

Kata beliau, ketika menjadi Penasihat Undang-undang kepada Perdana Menteri kesembilan, Azalina dilaporkan berkata, ‘Siapa yang menjadi Perdana Menteri, mesti Peguam Negara orang dia’.

“Saya bangkitkan perkara ini merujuk kepada Menteri Azalina yang menyebut, siapa yang jadi PM mesti Peguam Negara orang dia. Ketika itu Azalina menjadi Penasihat Khas Undang-Undang kepada Bera (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) sewaktu menjadi PM,” katanya dalam sesi perbahasan Belanjawan 2023 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, beliau bertanyakan adakah kerajaan bercadang untuk melantik Pegawai Syariah interim atau Hakim Syarie bagi mengatasi kekurangan jawatan itu.

Katanya, jika ada, beliau mencadangkan supaya Hakim Syarie interim diterapkan ke jawatan tetap mengikut pra syarat yang ditetapkan.

Beliau juga bersetuju dengan Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman agar penubuhan Suruhanjaya Kehakiman Syariah Malaysia (SKSM) direalisasikan bagi menaiktaraf kedudukan hakim mahkamah syariah sama seperti hakim mahkamah sivil.

“Iaitu sama dari segi pelantikan dan gred gaji mereka,” katanya.

Dr. Abd. Ghani turut meminta penjelasan kerajaan berhubung kelewatan penempatan Hakim Syarie di Perlis, yang mana berlaku kekosongan pada Mac 2022, tetapi diisi pada 16 November 2022.

Kelewatan itu, kata beliau, telah menjejaskan kes di peringkat mahkamah rayuan.

“Dari segi kes-kes yang perlu disegerakan, saya mohon mencadangkan supaya Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dapat mencari satu pendekatan bagaimana untuk menyelesaikan kes berkaitan dengan perceraian, sekurang-kurangnya diberi tempoh penyelesaian dalam tempoh kes difailkan sehingga satu setengah tahun

“Sekarang ini kes selesai melebihi tempoh itu, bahkan mencecah hampir tiga tahun,” katanya. – MalaysiaGazette