Awesome TV.

KUALA LUMPUR – Awesome TV menjelaskan pihaknya terlebih dahulu telah memfailkan tuntutan caj kelewatan penerimaan bahan siaran terhadap Pencil Pictures Sdn. Bhd. berjumlah RM162.192 juta pada Januari lalu.

Stesen televisen itu berkata, ia susulan kegagalan pemilik syarikat itu, Datuk Ayu Puteh memenuhi syarat kontrak penerbitan sebuah drama bersiri bertajuk ‘Di Sebalik Dia’ berjumlah 28 episod bersama Awesome TV.

Untuk rekod kata stesen itu, Pencil Pictures hanya menyiapkan 26 daripada 28 episod yang dijanjikan seperti termaktub di dalam kontrak bersama.

“Dua lagi episod gagal disempurnakan pihak Datuk Ayu, dan kesemua 26 episod yang disiapkan dihantar lewat kepada pihak Awesome TV dan tidak mengikut tarikh yang dipersetujui.

“Ketidakpatuhan kepada syarat-syarat kontrak ini telah menimbulkan pelbagai masalah kepada Awesome TV yang terpaksa membuat penjadualan semula program secara drastik.

“Kelewatan pihak Datuk Ayu juga telah mengakibatkan pelbagai komplikasi dengan pihak pengiklan Awesome TV,” kata stesen itu dalam satu kenyataan di sini.

Kenyataan itu dibuat apabila Ayu Puteh memfailkan saman terhadap Awesome TV baru-baru ini selepas menerima surat tuntutan caj kelewatan penerimaan bahan siaran.

Awesome TV menambah, pihaknya  tidak mempunyai pilihan selain daripada mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat Pencil Pictures pada Januari mengikut terma kontrak yang dipersetujui kedua-dua pihak.

“Pihak Awesome TV kini menyerahkan perkara ini sepenuhnya kepada proses perundangan untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – MalaysiaGazette