Ramkarpal Singh

KUALA LUMPUR – Setakat ini, kerajaan menyediakan pengawal peribadi untuk menjaga keselamatan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, bagi keselamatan Hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Tinggi, pegawai polis turut disediakan.

Katanya, penyediaan pegawai polis itu bagi hakim yang mendengar kes berprofil tinggi sehingga tempoh prosiding berjalan.

“Tujuannya adalah untuk menjaga keselamatan mereka daripada sebarang ancaman yang boleh menjejas dan memberi kesan buruk kepada mereka,” katanya dalam sesi menjawab perbahasan Belanjawan 2023 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat petang ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer mencadangkan kerajaan menyediakan pengawal peribadi untuk menjaga dan melindungi hakim, memandangkan mereka sering menerima ancaman.

Kata beliau, pegawal peribadi itu perlu disediakan terutama kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Persekutuan, yang terlibat dalam kes berprofil tinggi.

Beliau menyeru kerajaan menyediakan pengawal peribadi kepada hakim ini kerana kita lihat sering kali terdapat ancaman dibuat terutama kes yang melibatkan Ketua Hakim Negara dan juga ancaman siber baru-baru ini. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Rayer cadang sedia pengawal peribadi lindungi hakim