KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer mencadangkan kerajaan menyediakan pengawal peribadi untuk menjaga dan melindungi hakim memandangkan mereka sering menerima ancaman.
Kata beliau, pegawal peribadi perlu disediakan terutama kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Persekutuan, yang terlibat dalam kes berprofil tinggi.
“Saya menyeru kerajaan menyediakan pengawal peribadi kepada hakim ini kerana kita lihat sering kali terdapat ancaman dibuat terutama kes yang melibatkan Ketua Hakim Negara dan juga ancaman siber baru-baru ini.
“Sebagai peguam, saya merayu kerajaan mempertimbangkan dengan menyediakan perlindungan ini kepada hakim untuk menentukan keselamatan mereka dan keluarga mereka.
“Kita mahu mereka ini sentiasa terjamin terutama apabila mendengar kes yang mempunyai personaliti seperti Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan Tasek Gelugor (Datuk Wan Saiful Wan Jan),” katanya dalam sesi perbahasan Belanjawan 2023 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam perbahasan itu juga, Rayer membantah tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Katanya, beliau kecewa terhadap tindakan agensi siasatan itu mengeluarkan kenyataan terhadap seorang hakim yang dihormati di mana hakim itu tidak berpeluang untuk membela diri.
“Jadi, saya ingin menegur dan minta SPRM tidak mengeluarkan sebarang kenyataan terhadap hakim berkenaan kerana akan menyebabkan pelbagai polemik di luar sana,” katanya.
Baru-baru ini, SPRM melaporkan sudah mengemukakan kertas siasatan terhadap Mohd Nazlan yang merupakan Hakim Mahkamah Rayuan kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berhubung pelanggaran peraturan di bawah Kod Etika Hakim 2009.
Perkara itu juga telah dimaklumkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said melalui surat bertarikh 21 Februari 2023. – MalaysiaGazette