Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diiringi isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman tiba di mahkamah bagi menghadapi satu pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 di Mahkamah Shah Alam, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 13 MAC 2023.

SHAH ALAM – Bekas perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin
tiba di pekarangan Mahkamah Sesyen di sini pukul 8.20 pagi  bagi dakwaan satu lagi pertuduhan baharu ke atas beliau.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), itu yang dilihat memakai sut hitam hadir bersama isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Ahli Parlimen Pagoh itu dijangka menghadapi satu pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Sebelum ketibaan Presiden Bersatu itu, kelihatan beberapa ahli Parlimen, pemimpin PN serta penyokong turut hadir memberi sokongan kepada beliau.

Antaranya ialah Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Ronald Kiandee.

Bagaimanapun penyokong beliau tidak dibenarkan masuk dan hanya berkumpul di luar perkarangan mahkamah.

Sementara itu, petugas media telah mula berhimpun sekitar pukul 7.30 pagi bagi menanti kehadiran Pengerusi PN itu.

Pada Jumaat lalu, Muhyiddin, 75, dihadapkan ke di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan berkaitan wang dalam akaun Bersatu pada 10 Mac lepas.

Beliau mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu telah menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM232.5 juta dan dua pertuduhan sebagai Presiden Bersatu telah menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta. – MalaysiaGazette