Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO 2023, Tan Sri Shahrir Abdul Samad bercakap pada sidang media mengenai keputusan rasmi Pemilihan Sayap-sayap UMNO di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 13 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Pemilihan UMNO yang diadakan sejak Sabtu lalu memutuskan secara rasmi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Akmal Saleh, Datuk Seri Noraini Ahmad dan Datuk Nurul Aman dipilih mengepalai ketiga-tiga sayap UMNO.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, ia berdasarkan kepada pemilihan 189 daripada 191 bahagian parti itu.

“Ketua Pergerakan Wanita menyaksikan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mendapat 112 undi bahagian sementara Naib Ketua Pergerakan Wanita adalah Datuk Norliza Abdul Rahim dengan 123 undi.

“Sementara Ketua Pergerakan Pemuda UMNO adalah Dr Akmal Saleh dengan 122 undi dan naib adalah Mohd Hairi Mad Sah dengan 87 undi.

“Ketua Pergerakan Puteri adalah Datuk Nurul Aman Mohd Fauzi dengan 89 undi sementara Naib Ketua Puteri adalah Siti Sokhleha Nordin dengan 115 undi,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat UMNO di Menara Dato’ Onn hari ini.

Shahrir berkata, kelewatan pengumuman senarai baharu bagi UMNO 2023 adalah disebabkan oleh kelewatan bahagian-bahagian menghantar keputusan pemilihan mereka.

“Keputusan lewat kerana ada bahagian yang lewat menghantar keputusan mereka kepada bilik gerakan kita dan bahagian ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Shahrir berkata, JPU sudah menerima 10 bantahan daripada semua bahagian UMNO.

JPU juga, katanya, menerima enam bantahan diterima di sayap Wanita dan empat bantahan bagi Pemuda.

“Bantahan yang diterima JPU setakat ini adalah bagi Wanita di bahagian Kuala Kedah, Kulim Bandar Baru, Pekan, Pasir Salak, Sungai Besar dan Rompin.

“Sementara Pemuda di bahagian Sekijang, Langkawi, Kuala Krau, dan Temerloh,” katanya di mana esok adalah hari terakhir untuk mengemukan bantahan.

Hanya 189 bahagian yang menjalankan pemilihan kali ini di mana dua bahagian ditangguhkan pemilihannya iaitu Tanah Merah, Kelantan dan Kota Kinabalu, Sabah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast