Johari Abdul

KUALA LUMPUR – Pengimport telur dari India tidak boleh menyaman Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berikutan kenyataan yang dikeluarkan dalam Dewan Rakyat.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul menegaskan perkara tersebut dalam surat balasan kepada Ka Siong yang memohon panduan dan nasihat berhubung saman berkenaan.

“Seperti Yang Berhormat Datuk Seri sedia maklum bahawa Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan perlindungan kepada Ahli Parlimen berhubung apa-apa juga yang dikatakan olehnya semasa mengambil bahagian dalam apa-apa prosiding Majlis Parlimen atau mana-mana jawatankuasanya.

“Sehubungan itu, apa-apa ucapan yang dibuat oleh ahli Parlimen dalam mesyuarat Majlis Parlimen adalah terlindung di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Dan tiada prosiding di mana-mana mahkamah boleh diambil terhadap Ahli Parlimen berhubung apa-apa juga yang dikatakan olehnya semasa mengambil bahagian dalam apa-apa prosiding Majlis Parlimen tertakluk Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan,” kata Johari.

Wee Ka Siong memegang surat jawapan daripada Johari Abdul

Dalam surat bertarikh 6 Mac 2023 Ka Siong meminta panduan dan nasihat daripada Johari berhubung dua surat guaman mewakili syarikat pengimport telur ayam yang dihantar kepada beliau pada 23 Februari dan 1 Mac.

Sebelum ini, Ka Siong mendedahkan beliau menerima surat saman daripada pengimport telur dari India susulan kenyataan dibuat ketika mencelah pada sesi penggulungan Usul Menjunjung Titah Diraja di Dewan Rakyat.

Beliau meraih perhatian apabila membawa tiga telur ayam berlainan jenis iaitu telur dari India, telur omega dan telur tempatan ke Dewan Rakyat.

Beliau ketika itu menggesa Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menumpu soal ketidakcukupan telur ayam tempatan, bukannya mengimport telur antaranya dari India untuk menampung keperluan domestik.

“Cuma saya hairan apabila saya berucap di sini, saya (ada) terima surat daripada peguam yang mewakili pengimport dari India. Itu yang saya tak faham dan saya ditegah untuk berucap.

“Ini yang teruk. Sebab itu saya ada jawab nanti… tengok Facebook saya. Saya kena tunjukkan. Ini medan saya sebagai wakil rakyat.

“Saya rasa terpanggil untuk membawa isu ini. Apa salah saya sehingga pengimport melalui peguam tulis surat kepada saya.

“Ini floor (platform) saya. Saya pun tak sebut syarikat apa dan saya tak nak tahu (syarikat apa),” katanya pada sesi perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada 28 Februari.

Tambah Ka Siong, tiada siapa yang dapat menghalangnya untuk bersuara demi kepentingan rakyat.- MalaysiaGazette