KUALA LUMPUR – Petronas akan terus memacu kecemerlangan operasi dalam perniagaan teras sambil memenuhi sasaran pertumbuhan dan kemampanannya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, usaha itu diteruskan walaupun dalam keadaan industri minyak dan gas berdepan cabaran ketidaktentuan pasaran yang berpanjangan.
“Industri minyak dan gas mungkin menyaksikan harga menyederhana pada 2023 berikutan jangkaan kelembapan ekonomi,” katanya dalam sidang media di Menara Berkembar Petronas, di sini, hari ini.
Beliau menambah, walaupun Petronas maju dengan kedudukan yang lebih kukuh, syarikat minyak nasional tersebut akan terus memantapkan rantaian nilai bersepadunya dengan tumpuan yang lebih memfokuskan kepada kecemerlangan komersial dan operasi.
Tengku Muhammad Taufik memberitahu, Petronas akan memberi tumpuan kepada penyampaian strategi pertumbuhan tiga serampang serta aspirasi Pelepasan Sifar Karbon Bersih menjelang 2050 secara berdisplin termasuk pengurusan komitmen kewangan dan obligasi hutang secara berhemat.
“Petronas tidak mempunyai pilihan selain untuk mengukuhkan masa depan kumpulan bagi mengekalkan keupayaan kami dalam menyampaikan nilai jangka panjang yang mampan sebagai syarikat minyak nasional dan pemain tenaga global.
“Untuk tujuan ini, Petronas perlu kekal teguh dalam menyediakan tenaga yang selamat, mampu milik dan boleh capai ke arah
memartabatkan masyarakat dan menyokong negara bagi mencapai cita-cita sifar bersih,” jelasnya.
Beliau berkata, Petronas berazam untuk melaksanakannya dengan teguh melalui perkongsian yang lebih kukuh dengan pihak berkepentingan, rakan kongsi, pemain industri minyak dan gas tempatan serta pelanggan di seluruh dunia. – MalaysiaGazette