Gambar hiasan

TELUK INTAN – Polis Perak sedang menjalankan siasatan berhubung laporan mantan Ketua Bahagian UMNO Pasir Salak serta anak perempuannya didakwa pecah amanah wang parti itu berjumlah lebih RM31,000.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan menerima laporan polis berhubung kes tersebut dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Mohd Yusri Hassan Basri.

MalaysiaGazette difahamkan, laporan polis tersebut dibuat bendahari UMNO Bahagian Pasir Salak pada 10 Mac lalu selepas mendapati berlaku 15 transaksi pengeluaran wang parti melalui cek tunai berjumlah RM31,572.

Pengeluaran tersebut didakwa berlaku bermula 7 Februari hingga awal Mac di sebuah bank di Teluk Intan tanpa pengetahuan pengadu berusia 69 tahun itu.

Selain itu, mengikut laporan tersebut pengadu juga mendakwa transaksi berkenaan berlaku ketika mantan ketua bahagian serta anak perempuannya yang juga bekas setiausaha bahagian tidak mempunyai mandat dan kuasa untuk melakukan sebarang pengeluaran wang.

Difahamkan, pengadu membuat laporan susulan tidak tahu sebab pengeluaran serta mendakwa kedua-dua individu berkenaan telah digantung dan ditamatkan jawatan dalam parti berdasarkan surat yang dikeluarkan awal Januari lalu. – MalaysiaGazette