OSA PN Pejuang Hamzah Zainudin
Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin didakwa melanggar Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) kerana menyimpan fail berkaitan pemimpin-pemimpin kerajaan.

Penganalisis politik, Lim Sian See berkata, kesalahan itu boleh menyebabkan hukuman penjara untuk tempoh yang panjang.

Selain itu, katanya, Hamzah yang juga bekas Menteri Dalam Negeri sepatutnya disiasat oleh pihak berkuasa.

“Kenyataan Hamzah bahawa beliau menyimpan banyak fail mengenai salah laku pemimpin-pemimpin kerajaan sekarang dan mengugut untuk menggunakannya boleh memakan tuan.

“Sekiranya benar, maka beliau telah melakukan kesalahan menyimpan dokumen-dokumen OSA setelah tidak lagi menjadi menteri.

“Beliau juga telah menghalang siasatan jenayah dan menghalang proses keadilan semasa masih berkuasa dahulu,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Semalam, media melaporkan pengakuan Hamzah bahawa beliau menyimpan banyak fail pemimpin kerajaan sekali gus membolehkannya mencari kesalahan mereka.

Ahli Parlimen Larut itu menegaskan, jika kerajaan terus mengganggu Perikatan Nasional (PN) dan membuat mereka kecewa, tidak mustahil ‘fail-fail’ tersebut akan didedahkan.

Merujuk kepada akta tersebut, mana-mana individu yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(1) iaitu menyampaikan rahsia rasmi dengan salah boleh dihukum penjara antara setahun hingga tujuh tahun. – MalaysiaGazette