Ahli keluarga setia menanti dengan harapan semasa kerja-kerja menyelamat mangsa dari runtuhan bangunan akibat gempa bumi ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette pada hari keenam di Kahramanmaras, Turkiye. Foto FAREEZ FADZIL, 11 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Jumlah kutipan untuk Tabung Aid4Turkiye&Syria bagi membantu mangsa-mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria kini mencecah lebih RM700,000 sejak dilancarkan bulan lalu.

Pengarah Sekretariatnya, Mohd. Yusni Matpiah berkata, jumlah itu dijangka meningkat apabila majlis Iftar Ramadan: Fundraising Aid For Turkey and Syria akan diadakan Grand Barakah Hotel, Ampang pada 25 Mac ini.

Beliau berkata, majlis tersebut merupakan anjuran Sejagat Relief dan PasRelief yang merupakan salah satu entiti Pusat Bantuan Kemanusiaan Antarabangsa parti itu yang akan bertindak sebagai Pusat Koordinasi Bantuan Bencana untuk menerima segala bentuk sumbangan dan bantuan bagi menjayakan misi tersebut.

Majlis tersebut akan dihadiri Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan pemimpin utama parti.

“Bantuan yang sudah dihulurkan sebelum ini masih belum mencukupi dan ribuan rakyat lagi di sana memerlukan huluran sumbangan prihatin daripada kita.

“Apatah lagi Ramadan adalah bulan penuh dengan ganjaran bagi orang yang beriman dan bulan itu mendidik kita untuk sentiasa bermurah hati bagi membantu golongan yang memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Pasrelief telah menyerahkan enam kontena kepada mangsa-mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.

Awal bulan lalu, Aid4Turkiye&Syria ditubuhkan oleh 33 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh negara bagi membantu mangsa-mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria baru-baru ini.

Bagi fasa pertama, sektetariatnya telah menyasarkan sumbangan sebanyak RM 1 juta untuk membeli keperluan kritikal ketika ini seperti baju sejuk, makanan dan ubat-ubatan.

Sementara itu, Mohd. Yusni berkata, Sekretariat Aid4Turkiye&Syria akan memberi komitmen untuk membangunkan 100 buah rumah kontena kepada penduduk di negara berkenaan yang terlibat.

Ketika ini kata beliau, pihaknya telah berjaya menyerahkan enam rumah kontena kepada mangsa gempa bumi di Turkiye-Syria oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata, walaupun jumlah itu masih jauh daripada keperluan mangsa, namun itulah kemampuan yang boleh digarap hasil sumbangan penderma yang bermurah hati.

“Mangsa-mangsakini  terpaksa berada di khemah-khemah yang sediakan oleh pihak berkuasa untuk meneruskan kehidupan mereka dalam tempoh terdekat yang begitu mencabar ini.

“Kerajaan Turkiye menjanjikan pembinaan semula rumah kediaman kepada lebih dari 1.5 juta mangsa gempa bumi dalam tempoh setahun.

“Buat ketika ini mereka ditempatkan di khemah-khemah sementara dan rumah kontena separa kekal,” katanya.

Mohd. Yusni berharap ramai pihak akan hadir pada Iftar Ramadan: Fundraising Aid For Turkey and Syria bagi mengumpulkan dana untuk membantu lebih ramai rakyat yang terkesan di sana. – MalaysiaGazette