ALOR GAJAH – Seorang warga emas maut manakala suaminya cedera selepas motosikal ditunggangi merempuh seekor monyet di Jalan Lubok China di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, Mesah Puteh, 50, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di zon kuning Hospital Alor Gajah.
Menurutnya, suaminya, Jais Hussin, 76, bagaimanapun hanya mengalami luka ringan di kaki dan dirawat di zon hijau.
“Nahas berlaku ketika lelaki itu yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y100 dan isterinya dalam perjalanan pulang ke rumah di Ramuan China Kechil dari arah pekan Lubok China.
“Sebaik tiba di lokasi, mangsa telah melanggar seekor monyet dan terbabas ke kiri jalan mengakibatkan kedua-dua mangsa terjatuh dan cedera,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah Arshad, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan sebelum phak hospital memaklumkan warga emas wanita telah meninggal dunia pada pukul 1.59 petang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette