ADUN Bukit Antarabangsa, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika Persidangan Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Yang ke-14 Tahun 2023 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 14 MAC 2023.

SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali lebih layak untuk menggalas jawatan Ketua Pembangkang Selangor berbanding Datuk Ahmad Yunus Hairi.

Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim berkata, ini kerana Mohamed Azmin lebih berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini dan tidak lagi mempunyai tanggungjawab di peringkat Parlimen.

“Sepatutnya beliau (Azmin) yang memegang (ketua pembangkang) seandainya saya terima surat daripada ketua pembangkang sekarang, Yang Berhormat Sungai Air Tawar (Datuk Rizam Ismail) mengatakan beliau ingin letak jawatan.

“Bukit Antarabangsa yang paling layak kerana beliau bekas Menteri Besar, bekas menteri (pusat) dan paling kanan dalam dewan ini lima hingga enam penggal.

“Beliau sekarang pun bukan ahli Parlimen dan punya masa yang cukup untuk berperanan sebagai ketua pembangkang, kita akan bagi (ketua pembangkang) sekiranya (kosong) bukan Yunus,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.

Terdahulu Mohamed Azmin mencadangkan agar Yunus yang juga ADUN Sijangkang daripada Pas dilantik sebagai Ketua Pembangkang baharu di Selangor.

Cadangan itu dibuat susulan Rizam daripada Barisan Nasional kini menjadi sebahagian Kerajaan Negeri Selangor selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat.

Selain itu, jawatan Ketua Pembangkang itu perlu diserahkan kepada Perikatan Nasional (PN) kerana Rizam sudah kurang efektif berbahas bagi pihak pembangkang dalam sidang Dewan Negeri Selangor.

Tambah Suee Lim, Yunus ada keterbatasannya  sebagai ketua pembangkang kerana Ketua Pesuruhjaya Pas Selangor itu mempunyai komitmen lain termasuk sudah bergelar Ahli Parlimen Kuala Langat.

“Yunus, beliau dari segi pengalaman kalau nak banding dengan Azmin masih kurang, kedua, beliau sekarang seorang ahli Parlimen, kalau nak berperanan agak terbatas kerana kekangan masa, itu cadangan saya,” katanya Suee Lim lagi. – MalaysiaGazette