KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pharmaniaga Bhd, Datuk Zulkarnain Md Eusope telah meletakan jawatan berkuat kuasa hari ini.
Pharmaniaga dalam satu kenyataan berkata, Zulkarnain keluar untuk mengejar kepentingan lain.
“Beliau telah berkhidmat dengan Pharmaniaga sejak September 2020 dan sepanjang tempoh perkhidmatannya, syarikat telah mencapai pertumbuhan perniagaan yang ketara di pasaran swasta Malaysia serta operasi di Indonesia.
“Lembaga pengarah mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau dalam usaha masa depannya,” katanya.
Dalam tempoh interim ini, Lembaga Pengarah telah membentuk Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) yang dipengerusikan oleh Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif Ahmad Shahredzuan Mohd Shariff, dengan penyertaan pihak Pengurusan seperti Timbalan CEO Zulkifli Jafar, Ketua Pegawai Operasi Mohamed Iqbal Abdul Rahman serta Ketua Pegawai Kewangan Norai’ni Mohamed Ali.
“Exco akan mengambil alih tanggungjawab dan melaksanakan fungsi CEO.
“Exco memberi jaminan bahawa ia adalah perniagaan seperti biasa bagi Pharmaniaga dan semua aktiviti operasi perniagaan konsesi dengan Kementerian Kesihatan (MoH) dan perniagaan bukan konsesi dengan MoH, kementerian lain serta sektor swasta akan kekal utuh dan tidak terganggu,” katanya.
EXCO juga akan memberi tumpuan kepada penyediaan Pelan Regularisasi PN17 yang akan diselia oleh Pasukan Petugas Lembaga Pengarah PN17 yang baru ditubuh dan dipengerusikan oleh Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Pharmaniaga Datuk Lim Thean Shiang.
Pharmaniaga adalah sayap perniagaan farmaseutikal untuk Kumpulan Boustead Holdings Berhad dan bersama-sama Lembaga Tabung Angkatan Tentera, merupakan pemegang-pemegang saham utama syarikat berkenaan. – BERNAMA