Hussein Omar Khan

SHAH ALAM – Seorang pegawai polis berpangkat inspektor ditahan bersama lima anggota lain-lain pangkat kerana dipercayai terlibat dalam kes peras ugut.

Semua suspek yang berusia 33 hingga 44 tahun itu ditahan bagi membantu siasat kes peras ugut melibatkan sejumlah RM150,00 terhadap warganegara China.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, penangkapan itu dibuat pukul 9.15 malam Khamis lalu selepas pihaknya menerima laporan yang dibuat seorang lelaki tempatan.

“Penangkapan mereka dibuat susulan laporan oleh seorang lelaki tempatan berhubung kes pemerasan daripada enam anggota polis terbabit.

“Selain berpangkat inspektor, suspek yang ditangkap juga berpangkat sarjan, konstabel dan koperal.

“Mereka dikatakan memeras ugut warga China terbabit dalam satu serbuan dipercayai ada kegiatan dengan scammer,” katanya pada sidang media di Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.

Menurut Hussein, semua mereka dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman ke atasnya tamat.

Katanya, sebanyak dua kali reman diperoleh untuk melengkapkan siasatan dan kertas siasatan akan dirujukkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

Beliau turut menjelaskan, polis tidak menemui sebarang kes iaitu wang tunai berjumlah RM150,000 daripada suspek.

Namun, katanya, siasatan lanjut akan diteruskan terhadap pengadu dan kumpulannya yang berkemungkinan terlibat dalam aktiviti scammer. – MalaysiaGazette