Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar (dua kiri) bersalaman dengan sebahagian peguam syarie yang hadir pada Majlis Pelancaran Program Konsultasi Guaman Syariah Percuma sempena Ramadhan 1444H di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 14 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mempertimbangkan untuk menyediakan satu garis panduan penyelarasan berceramah di masjid dan surau-surau yang melibatkan ahli politik.

Namun ia terpulang kepada pihak berkuasa agama negeri-negeri sama ada mahu mempertimbangkan garis panduan itu untuk dilaksanakannya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

“Kita sedia maklum tauliah agama adalah kuasa negeri, di peringkat Persekutuan macam JAKIM berperanan untuk menyelaras dan menyeragamkan.

“Usaha itu kita akan cuba buat, tapi, at the end of the day sama ada fatwa, isu tauliah, isu kehakiman, isu pendidikan, ia berbalik kepada kuasa negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Konsultasi Guaman Syariah Percuma Sempena Ramadhan anjuran Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) di sinihari ini.

Menurut, Mohd Na’im lagi, peringkat Persekutuan sebagai agensi penyelaras, JAKIM akan cuba membuat penyelarasan itu.

Sebelum ini, terdapat larangan daripada pihak berkuasa agama negeri-negeri untuk tidak membenarkan agar ahli politik menggunakan masjid serta surau sebagai pentas kuliah atau ceramah.

Antara negeri-negeri yang melarang iaitu Johor, Terengganu, Negeri Sembilan, Selangor dan Perak. – MalaysiaGazette