Foto Instagram Uqasha Senrose.

KUALA LUMPUR – Pelakon Kamal Adli kini berada dalam keadaan stabil, namun masih perlu mendapatkan rawatan susulan.

Berkongsi perkembangan terkininya, menerusi laman Instagram (IG), Kamal, 37, berkata, dia dijaga isterinya yang juga pelakon Uqasha Senrose.

“Alhamdulillah, saya semakin stabil, tetapi masih mengambil ubat bagi menahan sakit untuk mengurangkan nanah dan lebam pada bahagian badan.

“Saya dijaga isteri. Terima kasih atas doa kalian terutamanya rakan artis yang berniaga di Expo Singapura, baru-baru ini,” katanya.

Menerusi perkongsian itu, Kamal turut memuat naik gambar kepalanya yang masih berbalut.

Dalam hantaran sama, Kamal mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan kesembuhannya.

Kamal berkata, isterinya, Uqasha masih dalam keadaan trauma atas insiden yang berlaku.

“Terima kasih kepada semua yang mendoakan. Harap semua jaga keselamatan kerana kita tidak tahu siapa suka atau benci kita.

“Doakan isteri saya yang masih trauma berdepan kejadian ini,” katanya.

Ahad lalu, Kamal diserang oleh individu yang tidak dikenali ketika sesi bertemu peminat di Expo Singapura.

Dalam kejadian itu, Kamal mengalami kecederaan di bahagian kepala, muka, bawah mata dan badan selepas diserang seorang lelaki berusia 34 tahun menggunakan cota besi.

Kamal kemudian dibawa ke hospital untuk menerima rawatan dan menjalani pembedahan. – MalaysiaGazette