Nik Yusaimi (tengah) menunjukkan sebahagian alat mainan seks bernilai RM1.1 juta yang dirampas pihaknya pada sidang media di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Mampu menjana keuntungan dua kali ganda selain mendapat permintaan tinggi khususnya dalam kalangan belia dipercayai punca lambakan alat permainan seks dalam negara.

Setiausaha Bahagian, Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yusoff berkata, ia berdasarkan rampasan barangan tersebut bernilai RM1.1 juta di sebuah gudang perkakasan (hardware) di Bukit Mertajam, pada 15 Februari lalu.

Jelas beliau, serbuan jam 12 tengah hari itu  turut membawa kepada penahanan seorang wanita berusia 29 tahun yang juga pemilik gudang berkenaan.

Nik Yusaimi (tengah).

“Hasil siasatan mendapati 22,929 unit alat mainan seks itu dibawa masuk dari China bagi memenuhi permintaan pelanggan.

“Selain itu, siasatan juga mendapati wanita itu aktif dalam kegiatan penjualan barang terlarang ini sejak tahun lalu dan ia dipasarkan secara dalam talian dengan harga antara RM70 hingga RM450.

“Siasatan lanjut mendapati wanita itu mampu mengaut untung dua kali ganda iaitu RM3.3 juta berdasarkan hasil rampasan,” katanya pada sidang media di Wisma Pantai di sini hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kerana memudaratkan kemoralan dan Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan kerana mengedar dan menjual barang-barang lucah.

Mengulas lanjut, Nik Yusaimi berkata, pihaknya bimbang generasi akan datang tidak sihat daripada segi mental susulan golongan muda dilihat cenderung miliki alat mainan seks ini.

Kesemua alat mainan seks itu dibawa masuk dari China.

“Sebab itu kita lakukan Ops Maya yang bertujuan membanteras pengedaran, penjualan dan pembelian alat permainan seks kerana ia dilarang serta berlawanan dari segi moral, budaya negara ini.

“Sehubungan itu, kita menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan penjualan dan pengedaran alat mainan seks dengan menghubungi pihak KDN di talian 03 8000 8000,” kata beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast