Kumpulan Radja
Kumpulan Radja

JOHOR BAHRU – Polis mengesahkan pihaknya telah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes ugutan jenayah kepada kumpulan artis Indonesia, Radja.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, setakat ini seramai 17 individu dan dua suspek telah diambil keterangan.

Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapat nasihat dan arahan selanjutnya.

Kamarul Zaman dalam kenyataannya juga memberitahu polis memberi jaminan akan menjalankan siasatan dengan telus tanpa kompromi mengikut undang-undang.

Selain itu, beliau juga menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu.

Sabtu lalu, Radja mengadakan konsert di Stadium Tertutup Arena Larkin di sini sebelum berlaku salah faham antara pihak penganjur konsert dan juga kumpulan muzik berkenaan.

Dua lelaki dipercayai wakil penganjur didakwa melemparkan kata-kata kesat dan ancaman bunuh kepada ahli kumpulan itu.

Ia berlaku selepas kumpulan muzik itu tidak dimaklumkan tentang sesi meet and greet atau suai kenal dengan peminat serta beberapa lagi aktiviti lain yang dirancang pihak penganjur.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955. – MalaysiaGazzete