Rafizi penjilat elaun nelayan fahmi PMQT artis kerajaan
Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Elaun Sara Hidup Nelayan perlu dinaikkan kepada RM500 sebulan bagi membantu mereka menampung kesan peningkatan kos yang mendadak.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, permintaan tersebut dibuat oleh nelayan-nelayan yang ditemuinya di kawasan yang diwakilinya itu.

Menurut beliau, nelayan-nelayan bukan mudah-mudah sahaja meminta kenaikan itu malah mereka bekerja keras setiap hari untuk mencari rezeki yang halal.

“Tetapi kos mereka naik mendadak. Contohnya harga pukat pun ada yang naik dua kali ganda.

“Sebab itulah mereka mengharap sedikit sahaja tambahan bantuan kerajaan, biarpun untuk sementara waktu,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Wan Saiful mengulas mengenai jawapan bertulis daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) di Dewan Rakyat berhubung permintaannya itu.

Dalam jawapan yang diterima Wan Saiful hari ini, MAFS menyatakan, elaun tersebut masih dikekalkan sebanyak RM300 sebulan kepada nelayan laut dan RM250 sebulan bagi nelayan darat.

Kementerian itu juga akan sentiasa mengkaji mekanisme dan kaedah yang terbaik bagi menyalurkan bantuan khususnya untuk menangani kenaikan kos sara hidup nelayan.

“Sebarang kenaikan elaun ini mengambil kira kesesuaian dan keperluan pada masa akan datang kerana ia melibatkan implikasi kewangan tambahan kepada kerajaan.

“Pada masa yang sama adalah menjadi hasrat kementerian untuk mengurangkan kebergantungan kumpulan sasar terhadap bantuan dan insentif oleh kerajaan selari dengan komitmen negara di peringkat antarabangsa,” jelas MAFS. – MalaysiaGazette